Sudah setengah jam Aisyah menunggu. Kelibat rakan-rakan yang ditunggu masih tidak kelihatan. Hari ini Aisyah telah berjanji dengan mereka untuk berjumpa di sekolah. Namun Aisyah berasa hampa. Sudah beberapa kali mereka mungkiri janji. Aisyah tidak mempunyai telefon bimbit untuk menelefon mereka. Telefon awam di sekolah pula tidak boleh digunakan kerana rosak. Nampaknya perbincangan mereka terpaksa ditangguhkan lagi. Dengan berat hati Aisyah berlalu meninggalkan kantin sekolahnya.
Aisyah berjalan kaki pulang ke rumah. Mujurlah rumahnya berhampiran dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Panglima. Aisyah kesal dengan sikap rakan-rakannya. Kebelakangan ini mereka tidak banyak berbicara. Tidak seperti selalu dan perkara ini menimbulkan persoalan kepada rakan sekelas. Mereka bertiga rakan yang rapat. Bahkan semua orang yang mengenali mereka sudah sedia maklum akan keakraban mereka.
“Macam mana ni. Minggu depan dah kena hantar. Aku kena buat sorang-sorang lah benda ni.” Aisyah merungut seorang diri. Aisyah, Norasyikin dan Nabila telah menghantar borang penyertaan mencipta majalah sendiri. Mereka telah membahagikan tugas masing-masing tapi sehingga ke hari itu majalah mereka masih belum ada perkembangan.
Apabila tiba di rumah Aisyah segera mencapai telefon rumahnya dan mendail nombor telefon bimbit Nabila. Panggilan tidak dijawab. Aisyah mencuba sekali lagi dan kali ini panggilannya dijawab.
“Assalamualaikum, Nabila. Kau kat mana ni. Kau tahu tak aku tunggu kau lama. Kenapa kau tak datang?” Aisyah kedengaran marah sekali.
“Sorry, Aisyah. Kita orang tak boleh datang la.” jawab Nabila dengan malas.
“Kenapa?”
“Hmm..Aku dan Syikin kat luar ni. Kita orang nak tengok wayang. Intan ajak.”selamba Nabila menjawab.
“Apa?”Aisyah terkejut dengan jawapan Nabila yang tidak disangkanya. Aisyah begitu bengang sekali dengan sikap rakan-rakannya. Nabila dan Norasyikin tahu yang mereka telah berjanji untuk berjumpa di sekolah. Mengapa mereka bertindak menerima ajakan Intan untuk menonton wayang. Membiarkan dia menunggu seperti orang bodoh. Aisyah merasakan mereka berdua cuba mempermainkannya.
“Sudahlah.” Aisyah berkata perlahan lalu meletakkan ganggang telefon. Hatinya sakit sekali diperlakukan begitu. Ingin sekali dia mendengar penjelasan daripada Nabila. Namun Aisyah tahu Nabila tidak akan mampu memberikan penjelasan yang sewajarnya ketika itu.
Aisyah nekad untuk menyiapkan majalah itu seorang diri. Dia tidak akan sesekali mengalah dan berhenti begitu sahaja walaupun pertandingan mencipta majalah itu adalah pertandingan secara berkumpulan. Biarkanlah rakan-rakan mereka itu. Dia sudah malas untuk memikirkan tentang mereka. Aisyah tidak mahu memaksa jika mereka tidak mahu bekerjasama.
Hari berikutnya ketika waktu persekolahan Norasyikin dan Nabila berlagak selamba. Tidak menunjukkan reaksi bersalah. Malah mereka tidak mempedulikan Aisyah. Hairan sungguh Aisyah melihat gelagat mereka. Adakah dia telah melakukan kesalahan. Tetapi jika benar dia melakukan kesalahan sekalipun adakah dia berhak dihukum seperti itu.
Norasyikin dan Nabila kelihatan semakin rapat dengan Intan. Kelas Intan bersebelahan dengan kelas mereka bertiga. Intan merupakan gadis yang comel tetapi banyak masalah. Aisyah ada mendengar ura-ura yang mengatakan Intan mempunyai masalah keluarga. Dia lahir dalam keluarga yang bercerai-berai. Kedua-dua orang tuanya telah bercerai setahun yang lalu. Disebabkan hal itu Intan selalu memberontak dan jarang berada di rumah. Banyak masa Intan dihabiskan di luar. Intan kini menjadi liar. Dia juga sudah semakin jarang ke sekolah.
Aisyah tidak kisah jika Norasyikin dan Nabila ingin berkawan dengan Intan. Tetapi janganlah sampai dia diperlakukan begini. Dia berharap agar persahabatan yang dijalinkan antara mereka itu sedikit sebanyak merubah diri Intan. Namun, Aisyah bimbang kedua-dua rakannya itu akan mengikut perangai Intan.
Aisyah menangis seorang diri di dalam tandas. Dia sedih kerana dituduh sebegitu. Dituduh sebagai perampas. Merampas lelaki itu yang sebenarnya tidak dimiliki oleh sesiapa pun. Tidak pernah terlintas di fikirannya. Dia cuma berkawan baik dengan lelaki itu. Sudah lama dia mengenali Ridhwan dan sudah tentu dia melayannya dengan baik. Namun Nabila menuduhnya sedemikian.
“Arghh. Sudahlah. Ini semua salah aku sendiri. Terlalu mesra dengan Iwan sehingga menimbulkan prasangka.” Aisyah mengelap air matanya. Dia malu hendak berhadapan dengan rakan sekelas. Matanya sudah bengkak akibat terlalu lama menangis. Namun, dia tidak perlu bersembunyi. Kejadian dia dituduh merampas Ridhwan telah disaksikan oleh rakan-rakan sekelasnya. Aisyah nekad untuk kembali ke kelas. Nasibnya baik kerana cikgu matapelajaran Matematik tidak dapat hadir hari itu.
Pada waktu rehat, Aisyah tidak keluar kelas. Dia melayan perasaan seorang diri. Rakan baiknya kini bermusuhan dengannya. Hatinya begitu pedih. Dia rasa malu sekali dituduh sebagai perampas. Aisyah tidak sanggup melihat wajah rakan-rakannya. Rasa malu begitu menebal di hatinya.
“Aisyah…” Aisyah menoleh. Maya dan Mabel tersenyum kepadanya. Rupa-rupanya mereka berdua telah lama memerhatikan Aisyah. Aisyah membalas senyuman.
“Janganlah bersedih. Kami tahu perasaan kau. Tak patut Nabila buat macam itu. Habis satu kelas tahu. Kecohlah dia tu.” Mabel cuba menenangkan hati Aisyah. Gadis berbangsa Cina itu memang baik. Dia juga merupakan pelajar yang pintar.
“Tak apalah. Benda dah jadi. Aku nak lupakan sajalah. Memang salah aku pun. Terlalu rapat dengan Iwan. Bila dah jadi macam ni baru aku sedar.” Aisyah menyapu mukanya dan mengeluh.
“Janganlah awak bimbang sangat. Kawan-kawan pun tak cakap apa-apa pasal awak.” Maya juga cuba menenangkan hati Aisyah.
“Kau tak payah risaulah kalau kau kehilangan kawan macam Nabila dengan Norasyikin tu. Aku tahu kau orang ada masalah. Perangai Nabila dan Norasyikin tu makin pelik aku tengok. Mungkin sebab dia orang kawan dengan Intan. Kau tahu kan Intan tu macam mana.” Aisyah diam. Tidak memberikan reaksi atas kata-kata Mabel itu.
“Mabel. Tak baiklah mengumpat orang.” Maya mencuit lengan Mabel.
“Aku cakap benda yang betul. Semua orang dah tahu Intan tu budak yang bermasalah.” Mabel buat muka selamba.
“Memanglah semua orang dah tahu. Tapi itu tetap mengumpat. Betul tak, Aisyah?” Aisyah sekadar tersenyum dan mengangguk.
“Yelah. Kau orang menang.” Mabel tersenyum.
“Aisyah. Saya ada benda nak bagi awak.” Maya membuka zip beg sekolahnya dan mengeluarkan beberapa keping kertas.
“Bacalah. Saya dapat kat internet.” Maya tersenyum lalu bergegas mendapatkan kereta ayahnya di hadapan tempat menunggu bas. Aisyah memerhatikan Maya berlalu pergi.
Aisyah berjalan lambat pulang ke sekolah. Dibelek-beleknya beberapa keping kertas yang dikepilkan itu. Dilihatnya beberapa ayat motivasi di dalam kertas itu.
Selepas makan tengah hari, Aisyah berkurung di dalam biliknya itu. Kertas yang diberikan oleh Maya itu dibaca. Ayat-ayat motivasi yang meransang semangatnya. Sehelai demi sehelai dibacanya. Aisyah berasa tertarik dengan tajuk yang tertulis SAHABAT lalu Aisyah membacanya.
“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
‘Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati..’ALLAH SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang- pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.
Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’
DALAM Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Pendek kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:
* Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
* Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
* Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
* Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
* Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
* Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
* Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
* Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
* Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
* Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
* Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
* Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
* Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
* Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.
“Terima kasih Maya. Aku suka artikel tentang sahabat tu.” Aisyah datang menemui Maya yang sedang duduk di perhentian bas.
“Sama-sama. Awak jangan bersedih kalau awak kehilangan kawan. Kawan memang ramai tapi nak cari kawan yang betul-betul ikhlas dengan kita dan yang baik dengan kita memang susah.” Maya berkata sambil tersenyum.
“Aku nak praktikkan ciri-ciri sahabat yang ada dalam artikel tu. Aku rasa aku tak pernah nak menghargai persahabatan aku dengan kawan-kawan aku. Aku sendiri tak ada ciri-ciri tu.”
“Semalam saya ada terbaca dalam satu artikel ni. Katanya kalau kita suka berkawan dengan seseorang kita kena cakap dengan orang tersebut. Biar dia tahu yang kita suka berkawan dengannya.” Maya memberitahu.
Aisyah menimbang kembali kata-kata Maya. “Betul juga. Kalau kita tak cakap macam mana kawan kita nak tahu.” Aisyah berkata di dalam hati. Aisyah berfikir sesuatu. Dia tersenyum dan memandang Maya.
“Kenapa?” Maya bertanya. Pelik melihat Aisyah tersenyum kepadanya.
“Kalau macam tu, saya nak cakap yang saya suka berkawan dengan awak.” Aisyah tersengih. Maya tersenyum mendengar kata-kata Aisyah.
~tamat~
~tamat~